Welcome Our Blog

November 5, 2014

Etnik di Sarawak, Bumi Kenyalang

Hubungan Kaum di Malaysia

1.0 Definisi Hubungan Kaum
        1.1 Menurut Kajian Lepas & Pendapat Para Sarjana
                   Oleh : Molly Jikulloi

Dalam kajian Abdullah Taib (1984) menyatakan bahawa kebanyakan kajian hubungan etnik menunjukkan faktor interaksi berkait rapat dengan kadar integrasi. Kadar integrasi dalam satu-satu komuniti ditentukan oleh faktor sama ada ahli-ahli komuniti itu berpeluang untuk berinteraksi dengan ahli-ahli kaum lain.

          Menurut Schermerhon (1970: 12) yang membezakan di antara satu kelompok etnik dengan kelompok etnik yang lain ialah adat resam, pola-pola kekeluargaan dan kekerabatan, agama, bahasa dan nilai kelompok etnik berkenaan. Menurut Mardiana dan Hasnah (2000) perpaduan ialah proses penyatuan daripada semua aspek termasuk fizikal, sosial, ekonomi dan politik.
          
          Ting Chew Peh (1979: 38) berpendapat interaksi sosial merupakan satu proses yang melibatkan dua atau lebih individu atau kelompok dan melibatkan tindakan saling balas membalas, dalam erti kata tingkah laku seseorang itu akan mengambil kira dan diorientasikan ke arah tingkah laku individu lain. Ia juga melibatkan saling jangkaan antara individu-individu yang terlibat dalam interaksi itu.

          Menurut Allport (1954), interaksi berperanan untuk mengurangkan prejudis, maka ia perlu berasaskan kepada interaksi sama status di antara kumpulan majoriti dan minoriti untuk mencapai matlamat bersama. Razali Nawawi (1990: 29) mentakrifkan masyarakat majmuk sebagai masyarakat berbilang bangsa, bahasa, kebudayaan/ agama.
Chew Fong Peng (2008), interaksi antara pelajar pelbagai kaum dalam sistem pendidikan telah membantu memupuk persefahaman antara kaum dengan perasaan kekitaan sebagai warga dan bangsa Malaysia.

          A.Aziz Deraman (2001) menyatakan bahawa kebudayaan adalah cara hidup yang merangkumi keseluruhan kehidupan sama ada sederhana atau kompleks bidang itu bergantung pada tingkat perkembangan kemajuan dan perubahan yang dilalui oleh masyarakat itu sendiri.

2.0 Asal Usul Kaum di Sarawak
        2.1 Kaum Melayu Sarawak
           Oleh : Yonna Edona

Salah satu masyarakat yang terdapat di negeri Sarawak adalah masyarakat Melayu Sarawak. Sebelum ini kita  hanya mendengarkan istilah  orang Melayu sahaja. Namun demikian, istilah Melayu Sarawak tiba-tiba menjadi bicara yang dijadikan topik perbincangan kita. Baiklah biar saya lanjutkan tentang asal usul masyarakat Melayu Sarawak yang terdapat di negeri Sarawak. 

          Masyarakat Melayu Sarawak datang ke kawasan Sarawak sekitar kurun ke-15. Sebab istilah Melayu Sarawak ini digunakan adalah kerana masyarakat ini lebih mengamalkan cara hidup Melayu (cara berpakaian, makan dan sebagainya). Selain itu, masyarakat ini juga, mengamalkan ajaran agama Islam serta bertutur dalam bahasa Melayu. Oleh hal demikian, masyarakat Melayu Sarawak digunakan sebagai istilah yang sesuai untuk orang –orang Melayu yang tinggal di Sarawak. 

          Mengikut sejarah terdapat tiga teori yang menyebabkan wujudnya masyarakat Melayu  di Sarawak. Antaranya ialah : 
a) Masyarakat Melayu yang berasal dari Sumatera dan juga Tanah Melayu.
b) Berasal daripada keturunan Melayu Brunei. 
c) Berasal daripada keturunan Dayak yang memeluk Islam serta mengamalkan cara hidup           orang Melayu.

        2.2 Kaum Iban
           Oleh : Pauzia Panguot

Masyarakat Iban merupakan anatara suku kaum terbesar di Sarawak. Terdapat pelbagai sub etnik dalam kalangan masyarakat Iban seperti Balau,Sebuyau, Lemanak dan lain-lain. Dari perspektif geografi, kebanyakan masyarakat Iban mendiami beberapa kawasan pedalaman yang tertumpu di tengah-tengah negeri Sarawak dan sebilangan kecil daripada mereka menetap di kawasan-kawasan Bandar.

          Masyarakat Iban juga dikenali sebagai Sea Dayak atau Dayak Laut  yang mula berhijrah ke Sarawak pada tahun 1540 hingga 1800. Mereka berhijrah ke Sarawak dari kawasan Kapuas di Kalimantan yang mana di kawasan tersebut masih terdapat orang Iban yang menetap di kawasan itu. Pada asalnya, kawasan asal yang dituju oleh masyarakat Iban  semasa berhijrah ke Sarawak adalah di sekitar kawasan Lubok Antu. Dari kawasan itu, mereka seterusnya menetap dikawasan Batang Ai, Sungai Skrang, Saribas dan Layar Basin.

          Penghijrahan kedua masyarakat Iban ke Sarawak pada awal tahun 1800 tertumpu di kawasan Sungai Rajang dan di bawah kawasan Sungai Baram. Manakala, penghijrahan ketiga pula bermula pada awal tahun 1900. Penghijrahan kali ini telah membawa masyarakat Iban ke kawasan Sungai Limbang, Tatau dan Sungai Kemena. Kebanyakan masyarakat Iban menetap di rumah panjang yang diperbuat daripada kayu yang mempunyai keistimewaanya yang tersendiri. Mereka melakukan aktiviti harian seperti menanam padi yang masih diamalkan sehingga ke hari ini.

          2.3 Kaum Melanau 
          Oleh : Marsha Sharron Tan

Masyarakat Melanau di Sarawak tertumpu di beberapa kawasan yang utama. Antaranya ialah, di bahagian Kuching, Sibu, Mukah, Oya/Dalat, Bintulu, Miri, Sarikei, Meradong dan Matu/Daro. Perbezaan kawasan penempatan bagi suku kaum ini telah menghasilkan dialek yang berbeza, malah amalan dan adat resam yang berlainan antara setiap sub etnik kaum Melanau.

          Suku kaum Melanau di Sarawak dikenali sebagai Likow. Likow merujuk kepada pelbagai maksud atau perkara-perkara lain. Menurut Morris (1981:30) istilah likow dalam bahasa Melanau bermaksud sungai, kampung, daerah, dan sebuah negeri. Penggunaan istilah A Likow dalam kalangan kaum Melanau juga bermaksud penduduk sungai. Hal ini kerana, petempatan awal yang utama suku kaum Melanau adalah di kawasan pesisir sungai yang berpaya.  

          Manakala, masyarakat Melanau di bahagian Mukah, Sarawak menggunakan istilah likow untuk membezakan anutan kepercayaan antara mereka. Sebagai contoh, orang Melanau yang beragama Islam akan merujuk orang Melanau yang beragama Kristian dan orang Melanau yang masih mengamalkan kepercayaan lama sebagai A Likow. Oleh itu, masyarakat Melanau di bahagian Mukah menggunakan istilah A Likow bagi membezakan diri mereka dengan masyarakat Melanau yang beragama Islam dan masyarakat Melanau yang beragama Kristian. 

          Sebelum kedatangan kerajaan Brooke, etnik Melanau di Sarawak tinggal di rumah panjang. Kewujudan rumah panjang sebagai tempat tinggal kaum Melanau suatu ketika dahulu dikukuhkan lagi dengan kewujudan satu-satunya rumah panjang Melanau di Kampung Sok, Matu, Daro. Rumah panjang Melanau ini merupakan satu-satunya tinggalan sejarah masyarakat Melanau yang masih wujud hingga ke hari ini.

Sumber : 
1. Abdullah Taib (1984), Integrasi dan Polarisasi Mahasiswa Universiti di Malaysia. Laporan Teknikal, Biro Perundingan dan Penyelidikan. Bangi : Universiti Kebangsaan Malaysia.
2. A.Aziz Deraman(2001), Masyarakat dan Kebudayaan Malaysia. Pustaka Dewan Bahasa Dan Pustaka, m/s 19 .
3. Chew Fong Peng (2008), Budaya dan masyarakat berbilang kaum di Malaysia. Jabatan Kebudayaan Dan Kesenian Negara. 
4. Dzulfawati Haji Hassan (2006) Upacara Kematian Melanau Likow di Sarawak.
5. Razali Nawawi (1990), Konsep pembangunan dan kenegaraan Malaysia. Pusat Pengajian           Umum Universiti Kebangsaan Malaysia, m/s 29.
6. Schermerhorn, R.A.(1970), Comparative Ethnic Relations. New York : Random House.  
7. Suraya (1995) Sarawak Bumi Kenyalang.

No comments:

Post a Comment