Welcome Our Blog

October 24, 2014

Pengenalan Terhadap Kaum-Kaum di Semenanjung Malaysia

Selamat membaca blog kami! :)

Dalam post ini, kami ingin memberikan satu pengenalan yang asas mengenai kaum-kaum yang terdapat dalam Semenanjung Malaysia. 

Secara umumnya, terdapat tiga kaum terbesar iaitu kaum Melayu, kaum Cina dan kaum India. Ada juga kaum lain seperti orang Asli tetapi bilangan mereka kecil berbanding dengan tiga kaum terbesar itu. 

Sekarang kami akan mengenalkan kaum Melayu terdahulu. 
Masyarakat Melayu adalah penduduk peribumi yang bertutur menggunakan bahasa Melayu, beragama Islam, dan mengamalkan adat istiadat Melayu. 
Masyarakat Melayu atau dikenali sebagai penduduk peribumi yang tinggal di Semenanjung Malaysia(yang dulu dikenali sebagai Semenanjung Tanah Melayu) dikatakan berasal daripada keturunan sesetengah suku kaum daripada Indonesia, Minangkabau, Jawa, Aceh, Bugis dan Mandailling. 

Di Malaysia, orang bukan peribumi juga boleh dimelayukan apabila mereka berkahwin dengan orang Melayu, memeluk agama Islam dan mengamalkan cara hidup Melayu, mereka ini akan diiktirafkan sebagai orang Melayu oleh pemerintah negara.

Bagi orang Cina pula, mereka merupakan orang Cina luar negara yang menjadi warganegara atau penduduk tetap di Malaysia. Namun begitu, istilah Orang Cina Malaysia agak jarang dipakai di negara ini dan istilah Orang Cina lebih kerap dipakai. 
Kebanyakan orang Cina Malaysia ialah keturunan pendatang dari China yang tiba di Malaysia sekitar abad ke-15 hingga pertengahan abad ke-20. Kebanyakan daripada mereka ini berasal dari China Selatan terutamanya wilayah Fujian dan Guangdong. Pada abad ke-19, kebanyakan mereka datang untuk bekerja sebagai 'buruh terikat' melalui perjanjian bertulis(indentured labour), dikenali juga sebagai 'kuli'(brmaksud 'pekerja susah-payah' dalam bahasa Cina). Yang lainnya datang secara bebas untuk bekerja, dan didukung oleh Persatuan Suku Kaum. 
Populasi orang Cina di Tanah Melayu mencecah 269,854 orang pada tahun 1911, dan kira-kira sejuta sekitar tahun 1949. 

Masyarakat India merupakan etnik ketiga terbesar selepas kaum Melayu dan kaum Cina. Mereka juga salah satu kaum yang menyumbang ke arah pembentukan sebuah masyarakat majmuk di negara kita. Kaum India merangkumi lebih kurang 10 peratus daripada jumlah keseluruhan populasi di Malaysia. 
Seperti kaum Cina, kaum India Malaysia juga berhijrah dari India Selatan ke Tanah Melayu untuk bekerja sebagai buruh di ladang-ladang pertanian terutamanya ladang getah. Mereka datang ke Tanah Melayu melalui dua cara : (1) Sistem buruh kontrak; dan (2) Sistem Kangani. 
Orang India Utara kebanyakannya merupakan pedagang dan peniaga kecuali orang Sikh yang biasanya bertugas sebagai polis atau pengawal. 
Orang India mula menetap di Tanah Melayu selepas tamatnya Perang Dunia Kedua. Pada masa itu, kebanyakan orang India menetap di kawasan ladang atau estet getah dan kelapa sawit. Sebahagiannya pula menetap di bandar-bandar seperti Kuala Lumpur, Ipoh, Taiping dan Pulau Pinang. 

Selain daripada tiga kaum terbesar yang diperkenalkan di atas, terdapat juga kaum minoriti lain seperti orang Asli dan Peranakan Cina. 
Orang Asli boleh ditakrifkan dalam tiga cara iaitu : 
(1) Mana-mana yang bapanya ialah ahli daripada kumpulan etnik Orang Asli, yang bercakap Orang   Asli dan lazimnya mengikut cara hidup Orang Asli dan adat kepercayaan Orang Asli, dan termasuklah seorang keturunan melalui lelaki itu;
(2) Mana-mana orang daripada mana-mana kaum yang diambil sebagai anak angkat semasa budak oleh Orang Asli dan yang telah dibesarkan sebagai seorang Orang Asli, lazimnya bercakap bahasa Orang Asli, mengikut cara hidup Orang Asli dan adat kepercayaan Orang Asli, dan menjadi ahli daripada suatu masyarakat Orang Asli; atau
(3) Anak daripada mana-mana penyatuan antara seorang perempuan Orang Asli dengan seorang lelaki daripada suatu kaum lain, dengan syarat anak itu lazimnya bercakap bahasa Orang Asli dan kepercayaan Orang Asli dan masih lagi menjadi ahli daripada suatu masyarakat Orang Asli.

Peranakan Cina, juga dikenali sebagai Baba dan Nyonya, merupakan kaum minoriti yang dipercayai berasal dari Melaka. Baba dan Nyonya di Melaka dipercayai bahawa nenek moyang mereka telah datang dan berkahwin dengan wanita tempatan. Kaum ini kebanyakannya berasal dari wilayah Hokkien, China yang berhijrah ke Melaka 600 tahun yang lalu ketika Melaka terkenal sebagai pusat perdagangan. 
Perkahwinan campur seperti ini telah melahirkan budaya Cina yang unik serta tradisi Melayu.

Pengenalan ringkas tentang kaum-kaum di Semenanjung Malaysia tamat di sini. Kami ingin memberi kredit terhadap beberapa laman web yang isinya diambil sebagai rujukan di sini :
1. pmr.penerangan.gov.my
2. Wikipedia
3. Jakoa.gov.my

Terima kasih atas masa anda membaca post ini! Dipersilakan pembaca-pembaca memberi komen-komen anda di bawah ruangan komen besertakan nama anda. Jumpa lagi!

~Daripada admin Zuratikah, Brenda, Heong dan Qi Ting

No comments:

Post a Comment